Pada tahun 1971, di atas kegigihan Mahaguru Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayongnya, beliau telah dikurniakan bintang kebesaran Dato' Paduka Chura Simanja Kini(DPCM) yang membawa gelaran Dato' oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar.
Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman merupakan orang pertama diletakkan keris Taming Sari di atas kepalanya, iaitu sebelum beliau dikurniakan anugerah darjah kebesaran Dato' Paduka Chura Simanja Kini oleh Sultan Perak. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman, keris Taming Sari itu sangat berdaulat kerana sebaik sahaja tamat upacara penganugerahan tersebut dan apabila beliau telah kembali semula ke rumahnya, beliau telah diserang seram sejuk yang teramat sangat sehingga menyebabkan beliau mengamuk dan bertempik tidak tentu arah. Beliau tidak pernah mengalami perasaan yang sedemikian sepanjang beliau melibatkan diri dalam Silat Seni Gayong. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman lagi, keris Taming Sari ini telah diserahkan oleh Sultan Mahmud Shah kepada anakandanya Raja Muzaffar yang hendak dirajakan di Perak. Sultan Mahmud juga telah menitahkan Raja Muzaffar supaya menamakan semula negeri Gangga Negara(nama lama Perak) dengan nama Perak, sempena nama Bendahara Melaka, Paduka Tun Perak.
Pada tahun 1972, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah telah berkenan menjadi Penaung Agung PSSGM dan Serantau. Baginda juga pernah suatu ketika turun takhta kerana mengambil Tapak Gayong di hadapan Mahaguru Dato’Meor Abdul Rahman. Selepas upacara tersebut baginda ditabalkan kembali menjadi sultan. Sultan Perak mempunyai hirarki paling tinggi di dalam Silat Seni Gayong. Baginda memakai sandang Seri Mahkota Agong Gangga Cula Sakti dan Seri Tribuana Gangga Cula Sakti. Hal ini disebabkan Sultan Perak adalah daripada jurai keturunan Sultan Melaka.
Pada 6 Mac 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi Paduka Imam Khalifah dan Penasihat Agung Majlis Tertinggi Adat Istiadat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman. Dengan perlantikan ini, Perdana Menteri Malaysia(berketurunan Bugis) dengan rasminya telah menjadi murid kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Istiadat pertabalan itu telah diadakan di kediaman Tun Abdul Razak iaitu di Seri Taman, dengan disaksikan oleh kerabat-kerabat Gayong dari Perak, Kedah dan Selangor. Tun Abdul Razak kemudian mengakui dan berikrar bahawa anggota-anggota Gayong adalah "saudara segayong". Beliau juga diterima menjadi "anak angkat" kepada Dato' Meor Abdul Rahman dan menjadi "abang angkat" kepada Sultan Perak,
Sultan Idris Shah yang menjadi Penaung Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Adat istiadat melantik Tun Abdul Razak ini diselubungi suasana yang mengandungi unsur-unsur ghaib. Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, beliau mengambil Tun Abdul Razak sebagai anak angkat kerana berlaku beberapa petanda baik semasa istiadat pertabalan itu dilakukan. Tun Abdul Razak mempunyai beberapa petanda baik yang dapat dilihat semasa istiadat pertabalan itu dijalankan dan adalah suatu perkara yang luar biasa dan sukar diperoleh oleh orang lain. Hadir sama di istiadat itu ialah Imam Khalifah Gayong Selangor, Datuk Harun Idris, Imam Khalifah Gayong Perak, Datuk Sri Kamaruddin Mat Isa, Imam Khalifah Gayong Pulau Pinang, Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir, Datuk Senu Abdul Rahman(Imam Khalifah Malaysia), Tan Sri Syed Nasir(Imam Khalifah Malaysia) dan beberapa orang pembesar negara yang lain.
About Me
adakah saya hensome??
Selasa, 8 Jun 2010
Dato' Paduka Chura Simanja Kini
Dicatat oleh mohd nazwan di 7:08 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan